21 July 2012

Allah izinkan aku bertemunya kembali....
Dulu, mula-mula mengenalinya(Dani), aku tak berapa perasan akan kehadirannya..Yang lebih aku perasan kehadiran sahabatnya(Syah)..entahlah, waktu tu, aku masih terlalu kecil..

Mak selalu kata seronok kalau berkawan dengan Dani..tapi pada  aku, berkawan dengan Syah lagi seronok. Syah baik. Kalau dengan dia selalu dapat macam-macam, dapat makan banyaklah, dapat baju, dapat duit. Orang lain pun  memang suka kawan dengan Syah berbanding Dani, tak ramai yang suka pada dia. Yang aku tengok, yang suka rapat-rapat dengan Dani ni macam tok-tok imam dekat masjid, orang-orang tua termasuklah mak dan ayah aku. Lepas tu mak ayah aku sibuk ajak aku skali suruh kawan dengan Dani. Aku tak minat sangat tapi taklah sampai benci., Sebab mungkin keluarga aku pun selalu memuji  Dani. Entahlah, aku pun pelik. Tapikan, kalau Syah ni, dahlah ‘best’..dia popular pula tu. Selalu masuk televisyen.. Kalau kat tv tu.. memangla, meletup. Tu yang buat aku minat dan suka sangat tu. Lagipun , dia ni tak berlagak. Tak kesah siapa je nak kawan dengan dia. Budak cina ke, melayu ke,india ke, semua dia rapat.

Bila aku dah besar, aku masuk sekolah berasrama penuh. Sekolah agama macam tulah. Kat situ aku jumpe ramai sangat orang minat Dani. Selalu juga diorang sebut-sebut nama Dani terutama bila sampai masanya. Hairan??Tak pulak aku dengar nama Syah. Setahu aku Syah yang popular, selalu masuk tv, tp kenapa Dani  yang lagi disebut-sebut. Oh, aku tahu, kat asrama mana ada tv..kelakar pula. Tak teringat. Tapi yang Dani ni, macam mana pula orang boleh kenal??ingatkan mak ayah aku dan orang-orang tua kat kampung je yang suka pada Dani. Biarlah.. malas nak fikir

Lepas beberapa bulan duduk asrama, bulan puasa pun menjengah.Nak tak nak, kenalah aku puasa dengan kawan-kawan yang lain kat asrama..hurm. Kurang seronok. Tapi yang seronoknya, dapat pergi terawikh rama-ramai dengan kawan-kawan. Dengar ceramahlah. Waktu tulah aku terperanjat besar, memang semua penceramah pakat sebut-sebut nama Dani. Serius..Siapa Dani sebenarnya??

Ya Allah!!kenapa aku tak pernah merasakan kehadiran Dani selama ni. Sedangkan begitu banyak kebaikan yang ada pada Dani..Aku amati dan hayati tiap butir kata penceramah berkaitan Dani.. Memang disebut segala kebaikan yang ada pada Dani.. Tanpa aku sedari air mataku menitis di pipiku yang tak berapa halus ni...Malam tu aku balik ke asrama dan bermunajat dengan sesungguhnya bahawa aku ingin bertemu  Dani.. Baru aku sedar Dani merupakan tanda cinta Allah padaku. Dia, Allah kirimkan untuk aku agar semakin rapat dengan Allah...Entah berapa kali aku menyebut namanya hingga terlelap di atas tikar sujudku..hurm.

Tinggal beberapa hari lagi sebelum Raya Puasa menjengah. Aku dah tak sabar nak pulang ke kampung . Mesti Syah dah tunggu aku..sebenarnya, Syah tak  perlu tunggu aku pun. Dia kan ramai kawan.. Hari ini, aku perlu pulang ke kampung kerana cuti Raya Puasa. Sekolah ditutup selama 2 minggu.. Baru sahaja kakiku  ingin melangkah meninggalkan perkarangan sekolah, hatiku tiba-tiba berat..Rasa sayu..Teringat saat-saat berterawikh dengan kawan-kawan. Berkejar-kejar nak ‘tapau’ makanan untuk berbuka.. dengar ceramah.. Dani... Tiba-tiba nama itu muncul...Aku harus mencarinya..Aku membulatkan tekad, ‘memburu Dani’, tak ingin aku lepaskannya lagi. ...
 
Terlalu jauh, agak lama peristiwa itu berlaku. .20 tahun berlalu bagai air yang mengalir deras..Tapi, kasih sayang aku pada Dani tak pernah luntur. Adakah kali ini Allah mengizinkan aku bertemunya kembali?? Dani, itulah Ramadhanku.. Syah pula adalah Syawalku.. Dua-dua aku sayang. Tapi Dani aku sayang lebih sebab Dani tanda cinta Allah padaku. .Allah, izinkan aku bertemu dengannya kembali ..
 
Sekadar nukilan ringkas dari insan sederhana..peringatan buat kita bersama. 


Inilah ruang dan peluang untuk kita kembali mencari diri setelah tenggelam dalam perantauan mencari dunia yang tak berkesudahan. Masakan tidak. Ramadhan itu tersembunyi di dalamnya malam yang mana  lebih mulia,lebih baik, lebih indah daripada seribu bulan..Lalu peluang emas ini seharusnya kita jadikan pertandingan...Bulan Ramadhan ini juga, bulan dimana mukjizat teragung diturunkan.. Segala amalan-amalan kebaikan akan dilipatgandakan pahalanya..syaitan dibelenggu, pintu rahmat dibuka seluas-luasnya sedangkan pintu azab ditutup serapat-rapatnya..bukankah ini bukti cinta dan kasih Allah kepada umat bongsu ini..??
 
Rasulullah S.A.W bermaksud; "Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua Syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu Neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu Syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu.
Penyeru pun menyeru: "Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah! Dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah! Dan (yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan daripada api Neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan." (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)
 
Namun fenomena yang terjadi pada hari ini, sebagaimana yang kita saksikan di televisyen, di pasaraya-pasaraya berhampiran dengan rumah dan sebagainya, Syawal yang lebih dinanti-nantikan. Kita sering dimomok-momokkan dengan persiapan menyambut hari raya seperti kuih raya, baju raya, langsir raya dan bermacam-macam lagi. Sedangkan Ramadhan seharusnya dinikmati, dihayati dan dijalani dengan penuh ketaatan dan kerendahan hati serta rasa ingin melahirkan takwa yang tinggi pada sang pencipta.Ya! Tidak dinafikan, ramai juga yang menyambut kedatangan Ramadhan dengan kesyukuran, namun masih wujud segelintir masyarakat menyambut Ramadhan dengan bermewah-mewah ketika berbuka sehingga juadah yang dibeli adakalanya terbuang begitu sahaja lantaran diturutkan keinginan sebelum berbuka..akhirnya berlakulah pembaziran.

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan
dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Iman – no: 38)

Selain itu, Allah juga berfirman dalam surah Al-Qadr ayat 2 & 3
2-Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?3-Malam kemuliaan itu lebih baik daropada seribu bulan’

Ayuh kita tenungkan sedalam-dalamnya kalam indah ini. Malam indah itu seharusnya menjadi buruan..Persoalannya bila?? Ulama menggariskan berdasarkan sabda nabi, malam itu berada di antara sepuluh malam yang terakhir. Namun, kita fokuskan pada persekitaran kita. Terkadang menjadi suatu yang menghairankan. Adakah lailatul Qadr di Malaysia berada pada 10 malam yang terawal?? Mengapa hal ini  menjadi persoalan? Jika kita lihat, rata-rata masjid di sini hanya penuh sekitar 10 ke 15 hari yang awal dalam bulan Ramadhan. 15 hari berikutnya mula lengang.. Yang kedengaran bunyi bunga api, tanda Syawal dinanti.. Mungkin juga sibuk dengan persiapan menyambut lebaran ..Wallahua’lam..

Hakikatnya, hamba itu tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Kita sangat perlu kepada nasihat agar tidak tercicir dari perhatian Allah Azzawajalla. Lalu, di kesempatan ini, penulis ingin membawa diri dan pembaca untuk kembali merenung, sejauh mana pengiktirafan kita terhadap bulan penuh barakah ini, bulan tanda cita Sang Pencipta kepada Hambanya...Marilah kita manfaatkan bulan ini dengan sebaiknya, tingkatkan amalan-amalan sunat, perbanyakkan zikir, tilawah, qiamullail, sedekah dan kekanglah nafsu kita dengan penuh jiddiyah. Moga segala amalan kita bernilai di sisi Allah..maaf atas segala kekurangan. Moga Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya..
 
Bersimpuh di sisiMu..