18 July 2012

NAKAMA PENCETUS PERSAHABATAN YANG UTUH

  " Nahnu Kal Ma' " atau lebih dikenali dengan nama NaKaMa 2012 merupakan satu program yang dianjurkan oleh Saff Perwakilan Fi Zilalil Quran 12/13 dengan kerjasama PERKEMAT DQ. Ianya merupakan satu sesi perjumpaan antara ahli semester Fi Zilalil Quran (FIZIQ) bersama barisan Perwakilan FIZIQ 12/13, yang mana program ini juga turut dikenali sebagai Program Multaqa FIZIQ. Aktiviti ini merupakan satu program yang penuh bermakna bagi semua ahli semester Fi Zilalil Quran kerana program ini merupakan program multaqa yang terakhir bagi kami.

  NaKaMa dilaksanakan atas dasar objektif yang telah digariskan oleh Saff Perwakilan FIZIQ iaitu Memperkenalkan Barisan Perwakilan Fi Zilalil Quran (FIZIQ) 12/13,  Memperkenalkan gagasan FIZIQ ,  Merapatkan Ukhwah antara ahli Semester FIZIQ. Program ini berlangsung pada tanggal 29 JUN 2012 bersamaan 9 SYAABAN 1433H yakni pada hari Jumaat bertempat di Dewan Muktamar Darul Quran. Program ini telah dilancarkan oleh Monitor Fi Zilalil Quran iaitu Al-Akh Saudara Muhammad Bazli bin Mohd Rasli yang mana merupakan Timbalan Yang Di Pertua PERKEMAT DQ 11/12. Program ini dimulai dengan Alunan Qasidah yang penuh asyik lagi syahdu yang telah dipersembahkan oleh ahli semester FIZIQ sendiri.

     Selepas persembahan Qasidah, majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada Presiden FIZIQ, Saudara Mohd Naim bin Yahaya seterusnya ucapan dan perasmian oleh Saudara Muhammad Bazli bin Mohd Rasli selaku Monitor Fi Zilalil Quran.


  Tepat jam 10 malam upacara gimik perasmian dilancarkan dengan tayangan sebuah video yang sangat menarik. Ramai yang merasakan video yang dihasilkan oleh Saudara Safiuddin adalah yang terbaik dengan bantuan pelakon-pelakon yang mantap. Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan tayangan video Barisan Perwakilan Fi Zilalil Quran.


 
Selesai sahaja tayangan video, majlis diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang dalam perlawanan futsal dan bola jaring antara ahli semester yang telah diadakan sebelum ini. Dalam pukul 11 malam, para hadirin dipersilakan untuk menjamu selera sedikit jamuan ringan yang telah disediakan. Sambil menikmati jamuan, majlis dimeriahkan dengan pendeklamasian sajak oleh Saudara Abdul Majid dan persembahan nasyid yang didendangkan oleh kumpulan FIZIQ BOYS.


  Majlis seperti ini telah mendatangkan 1001 kenangan dalam memori setiap ahli semester FIZIQ kerana ia merupakan salah satu wasilah untuk merapatkan ukhwah antara sahabat-sahabat kita. Justeru, kami di barisan Perwakilan mengharapkan agar BATCH FIZIQ 10/13 pada kali ini akan berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam semua aspek. Bersamalah kita menghidupkan suasana tolong-menolong antara satu sama lain dan yang paling penting kita hendaklah sentiasa berbaik sangka terhadap sahabat kita di samping mendoakan kejayaan kita dan sahabat-sahabat kita di dunia dan akhirat. Semoga kita dapat menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain kerana erti hidup adalah dengan memberi. Sekiranya kita tidak mampu mendatangkan manfaat, janganlah pula mendatangkan mudharat. Akhirul kalam, mari bersama kita renungi Hadis Rasulullah S.A.W. yang berbunyi :
  
  "Sesiapa yang mempunyai kelebihan tunggangan maka hendaklah dia membantu memudahkan untuk orang-orang yang tidak mempunyai kenderaan. Sesiapa yang mempunyai bekalan lebih maka hendaklah dia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan."
(Riwayat Muslim)



^ WALLAHU'ALAM ^